Wednesday, March 29, 2017

Mengawal Anxiety

Bagaimana saya nak pastikan minda saya bebas dari berfikiran negatif?

Setakat ini, saya tak boleh katakan yang saya bebas dari memikirkan segala hal dan masalah yang membelenggu fikiran saya dulu.
Belum lagi.

Pemikiran dan ingatan-ingatan itu tetap datang, setiap masa sama ada saya sedang mandi, memasak, memandu, berjalan, berenang..
Tetap ada.

Kalau saya terleka dan melayan pemikiran tu, ia akan berlarutan sehingga perasaan saya kembali terbelenggu dan kemudian saya terperangkap dalam emosi negatif. Lalu datanglah segala gejala anxiety; sesak nafas, berdebar, sejuk kaki dan tangan, berpeluh, kepala pun rasa melayang-layang.

Jadi jika pemikiran negatif itu mula-mula datang, saya kena cepat-cepat tangkis dengan 3 langkah.

Beristighfar.
Tarik nafas panjang.
Senyum.

anxiety

Mencari Kekuatan Diri

Ya, semasa dalam keadaan jiwa sangat lemah memang sangat menjejaskan pemikiran dan fizikal kita.

Saya sering struggle walau hanya untuk bangun dari katil bagi menghadapi hari. Bertempur dengan diri sendiri, mencari kekuatan untuk bangun dan bergerak keluar dari bilik tidur. Logik akal dalam otak saya berkeras, menyuruh saya bangun, mandi dan bersiap ke kampus. Tapi sebahagian diri saya amat takut, taknak keluar dari rumah, tak mahu berjumpa sesiapa.

tidur
Ada satu ketika saya rasa terlalu lemah, sehinggakan saya sujud di atas tilam, menghadap arah kiblat, dan memohon sungguh-sungguh pada Allah s.w.t. supaya diberikan kekuatan untuk melawan rasa ketakutan itu, sebab saya perlu ke kampus ada meeting dengan penyelia saya. Begitu tak berdayanya saya ketika itu. Dan Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya dan saya dapat menjalani hari tersebut.

Satu lagi kepayahan bila keluar dari rumah ialah saya perlu berlakon. Pura-pura ceria, tiada masalah and i'm okay​. But in reality, everything is not okay!

Anxiety
Sentiasa rasa keseorangan.
Ini adalah hakikat yang saya hadapi. Walau sejauh mana saya mahu menyendiri, namun percayalah bahawa sesungguhnya saya mahukan teman. Teman untuk saya bercerita, untuk mendengar luahan rasa saya. Tapi entah mengapa, teman itu bagaikan suatu logamaya. Semua yang saya sangkakan sahabat kini senyap. Hilang. Sehinggakan saya mempersoalkan 'Tiada nilaikah aku di hati mereka?'

Mujur Allah hadirkan insan-insan yang tidak putus asa sentiasa mencari, bertanya khabar, mengajak keluar dan beraktiviti. Bayangkan adakalanya 10 kali diajak, kali ke-11 barulah saya katakan iya. Itupun kerana malu setelah berkali-kali menolak. Terima kasih kerana sabar.  Sekurang-kurangnya, dengan adanya mereka, saya tidak hanyut dan tenggelam dalam melayani tekanan perasaan saya dengan berkeseorangan. Terima kasih Aishah, Ifa, Yana. Dan terima kasih Raja... Kerana tidak mengalah dan tidak biarkan saya sendiri.

Ya, mujur Allah sentiasa ada bersama saya. Dan Alhamdulillah, kasih sayang Allah sentiasa melimpah ruah pada saya. Semua tanda-tanda kasih sayangNya ini sangat jelas ditunjukkan terutamanya pada saat saya hampir berputus asa dalam menghadapi setiap ujian yang datang, baik kecil ataupu besar.

Alhamdulillah...

Tuesday, March 28, 2017

Prosedur Mendapatkan Rawatan Anxiety di Hospital

Saya ingin kongsikan pengalaman saya mendapatkan rawatan terhadap tekanan perasaan saya.

Ketika itu saya belum tahu yang saya mempunyai anxiety disorder. Yang saya tahu, saya dibebani masalah yang ditanggung berbulan-bulan dan saya takut saya jadi gila kerana terlalu tertekan. Kebetulan pula, banyak posting-posting di FB dan internet yang bercakap tentang tekanan perasaan dan kemurungan.  Maka akhirnya pada suatu hari, saya buat keputusan untuk ke Hospital Batu Gajah untuk dapatkan rawatan.

Jabatan Pesakit Luar, Hospital Batu Gajah
Pertama sekali saya ke Jabatan Pesakit Luar, Hosp Batu Gajah. Seperti prosedur biasa, dapatkan nombor giliran di kaunter, buat saringan asas (rekod berat badan, ketinggian dan tekanan darah) dan akhir sekali tunggu nombor dipanggil. Bagi mereka yang jauh dari hospital, boleh berjumpa doktor di Klinik Kesihatan yang berhampiran.

Bila sampai giliran saya, doktor bertanyakan apa masalah saya. Jadi saya bagitahu beliau yang saya sedang stress, dan saya bimbang jika saya ada depression. Oleh itu, beliau mula bertanya lanjut tentang simptom-simptom yang saya alami. Saya terangkan yang saya sedang menghadapi masalah perhubungan dan masalah ini mengganggu fikiran, kerja dan tidur saya. Saya kerap berdebar-debar, berpeluh sejuk, terjaga dalam keadaan terkejut dan tiada motivasi untuk membuat sebarang aktiviti. Saya struggle untuk bangun dari katil setiap pagi.

Doktor merekodkan keterangan dan beliau turut bertanyakan sedikit tentang sejarah diri, penyakit@alahan yang pernah ada. Kemudian beliau membuat surat rujukan bagi membolehkan saya mendapatkan rawatan dari pakar psikiatrik. Mujur di Hospital Batu Gajah, terdapat Pusat Kesihatan Mental diwujudkan khusus bagi menyokong rawatan kesihatan mental. Maka pada hari itu juga saya telah mendapat tarikh temujanji iaitu 2 hari selepas itu.

Pusat Kesihatan Mental, Hospital Batu Gajah
Pada hari temujanji, saya bawa bersama surat rujukan yang diberikan oleh doktor perubatan. Setelah memaklumkan saya ada temujanji pada hari tu, seorang jururawat mengambil tekanan darah saya. Kebetulan ada beberapa pesakit lain yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan.

Mujur saya orang yang terakhir berjumpa pakar psikiatrik tersebut. Mula-mula saya diminta mengisi satu borang kajiselidik untuk diisi. Ujian DASS. Ia bertujuan bagi menilai tahap stress, antiety dan kemurungan (depression) seseorang. Setelah selesai menjawabnya, saya serahkan kembali kepada beliau. Hasil ujian tersebut mendapati saya menghidapi stress tahap sederhana, anxiety tahap teruk dan kemurungan tahap teruk. Bukanlah satu pencapaian yang membanggakan..Hehe


Kemudian sesi kaunseling bersama pakar psikiatrik tersebut bagi mengenalpasti punca tekanan saya. Hampir 2 jam sesi luahan dan air mata ini berlangsung. Beliau dengan sabar mendengar dan memberi cadangan bagi masalah saya.

Di akhir sesi ini, beliau memaklumkan bahawa saya akan dirujuk kepada seorang kaunselor di Hospital Ipoh, memandangkan di pusat tersebut tidak kaunselor. Saya juga diberi ubat anti-kemurungan bagi tempoh 2 minggu bagi membantu saya bertenang dan tidak berfikiran negatif. Ia juga berfungsi sebagai ubat tidur bagi membantu saya tidur di waktu malam. LUVOX.

Saya ada nyatakan pada pakar tersebut kebimbangan saya jika perlu bergantung pada ubat sepenuhnya. Namun jawapan beliau melegakan saya. Katanya, apabila dalam keadaan buntu, minda kita tak tidak mampu berfikir. Umpama ianya berdegil dan berterusan hanya mahu memikirkan masalah sahaja sehinggakan ia tidak mampu nampak sebarang jalan penyelesaian. Salah satu tindakbalas ubat berkenaan ialah ia meningkatkan hormon seretonin iaitu hormon yang dirembeskan oleh otak semasa kita gembira. Hormon ini membantu seseorang menjadi lebih tenang seterusnya mampu berfikir dengan baik. Beliau menggalakkan saya bersukan kerana ia merupakan salah satu cara bagi menggalakkan pengeluaran hormon gembira ini.

Alhamdulillah, setakat ini banyak perkembangan positif yang saya rasakan. Pertamanya, saya mampu melawan fikiran negatif apabila ia mula datang, Kemudian, kualiti tidur saya lebih baik. Walaupun ada juga terjaga sekali dua pada setiap malam namun tidak sekerap dulu. Saya juga mengambil langkah menerangkan masalah kesihatan saya ini kepada penyelia saya, dan Alhamdulillah dia begitu memahami dan mengambilberat. Yang terkini, saya berjumpa dengan kaunselor kampus untuk mendapatkan pertolongan beliau bagi menyusun semula priority hidup dan mencari jalan bagi masalah-masalah yang timbul.

Inilah proses-proses yang saya alami dalam usaha mendapatkan rawatan terhadap anxiety saya. Saya sering berdoa semoga Allah s.w.t. terus berikan kekuatan untuk saya kembali sembuh dan sihat. Sesungguhnya saya yakin ada hikmat yang amat besar di sebalik kejadian. Insya Allah..

Monday, March 27, 2017

Tanda-tanda Anxiety

Sebelum saya tahu yang saya sebenarnya menghidapi anxiety disorder, saya sering tertanya-tanya; mengapa saya berkelakuan lain daripada saya yang biasa. Rutin harian saya kacau-bilau, tak boleh fokus pada kerja. Jiwa dan pemikiran saya amat terganggu.

Terlalu banyak berfikir
Pada asalnya saya menghadapi masalah tentang perhubungan. Hubungan dengan penyelia, hubungan dengan kawan-kawan rapat. Beberapa perkara telah berlaku pada saya dengan berturut-turut sehingga menyebabkan saya rasa ditindas, dikhianati dan hilang kepercayaan pada mereka yang saya letak sangat dekat di hati saya. Kemudian, saya merasai kehilangan pada seseorang yang saya bergantung harap. Kesemua ini membelenggu pemikiran saya selama berminggu-minggu, berbulan-bulan. Saya tak jumpa jawapan atau penyelesaian terhadap masalah saya.
Buntu

"Mengapa mereka buat aku macam tu?"
"Kenapa benda ni jadi kat aku?"
"Sampai hati mereka buat kat aku..."
"Tak patut"
"Tak boleh"
"Kenapa mereka tak faham aku?"

Ni semua ayat-ayat dan perkataan yang sentiasa berlegar-legar dalam kepala otak. 24 jam!
Bila dah ada ayat-ayat macam tu, maka mulalah fikir macam-macam senario.

Apa aku akan cakap kalau jumpa diorang. (Babak...)
Sepatutnya diorang kena buat macam ni. (Babak..)

Memang dah boleh buat drama TV dah dengan semua babak dalam otak tu. Hehe..

Mood berubah mendadak (mood swing)
Dalam tempoh ni, mood saya memang macam ombak badai. Boleh naik turun dengan sangat cepat. Saya boleh merajuk, marah, mengamuk,menangis dengan tiba-tiba. Sedangkan puncanya amat kecil. Contohnya adik saya makan keropok yang saya beli sebagai stok makanan masa saya lapar dan malas nak keluar rumah. Saya mengamuk sampai baling kipas meja ke dinding beberapa kali sampai kipas tu total lost. Kemudian ada satu ketika, saya ternampak kereta kawan-kawan sedang parking kat main gate, saya menangis teresak-esak sepanjang saya memandu balik ke rumah. Sebab saya tahu mereka akan parking kereta di situ setiap kali mereka keluar buat aktiviti bersama-sama dan saya sangat sebak memikirkan sampainya hati mereka bersuka ria tanpa saya. Yang paling aneh ialah apabila anak sedara taknak berkongsi rahsianya dengan saya. Saya boleh merajuk dengan dia dan terus balik rumah (budak 5 tahun je kot!). 
Anxiety mood swing

Ya, bila saya dah tenang sekarang ni, memang sangat tak logik hanya disebabkan isu keropok, kereta parking dan budak kecil, saya jadi terlampau beremosi. Tapi percayalah.. Masa ni memang kita tak boleh nak faham diri kita sendiri dan kenapa kita bereaksi macam tu. Yang nyata, bila dah melibatkan kerosakan fizikal atau melukakan hati orang lain memang kita rasa menyesal sangat-sangat. Kemudian salahkan diri sendiri; "Kenapalah aku tak boleh bersabar.." Masa ni memang kesian kat orang-orang sekeliling yang rapat dengan kita. Tak pasal-pasal diorang kena tempias. 

Suka menyendiri dan tiada semangat
Bila terlalu memikir masalah tu, kita lebih selesa menyendiri dan berada dalam dunia kita sahaja. Taknak jumpa orang, taknak berinteraksi. Lagipun kalau jumpa orang, nanti kita akan cepat marah, merajuk dan kecil hati. Jadi lebih baik duduk sorang-sorang, layan fikiran sendiri. 

Kemudian lepas beberapa lama mula rasa lemah, asyik nak tidur je. Paling susah ialah nak cari semangat untuk bangun dari katil  dan mulakan hari. Sebab taknak hadapi hidup. Sedangkan saya amat aktif sebelum ni. Hari saya bermula seawal 4.30 pagi, dan saya boleh belajar, berjoging, berenang, bersosial dengan bersungguh-sungguh. Siapa sangka kehidupan saya berubah 180 darjah dalam tempoh ini. Ada satu ketika, saya dah berpakaian sukan dan ada di padang, tapi saya tak mampu cari motivasi untuk berjoging pada hari itu dan terus balik ke rumah. 

Takut
Masa ni memang asyik takut je.
Anxiety

Takut jumpa orang nanti dia judge aku negatif sangat la, muka takde semangat la.
takut jumpa saudara-mara nanti diorang sibuk nak tau pasal diri aku. 
Takut terima panggilan telefon, risau nanti dapat berita buruk.
Takut jumpa kawan-kawan nanti diorang tanya ke mana menghilang.

Kita tak tahu dan takut menghadapi hari. Kita rasa tak ada jalan keluar dari pada masalah ini melainkan kalau kita mati.

Serangan panik secara tiba-tiba (Panic attack)
Bila terlalu runsing, akhirnya ia mempengaruhi kehidupan saya. Saya sering resah, sejuk tangan dan kaki namun berpeluh-peluh. Ada ketikanya serangan ini berlaku di tengah malam, saya terjaga dalam keadaan berpeluh-peluh dan jantung berdebar-debar. Memang masa tu asyik terjaga selang sejam. Maka waktu siang saya sering merasa mengantuk dan tidak bermaya kerana tidur yang tidak berkualiti.


Pakar psikiatrik
Memandangkan keadaan saya semakin teruk dan saya tak mampu mencari jalan keluar, akhirnya saya ambil keputusan yang saya perlukan khidmat profesional. Maka saya pun ke hospital dan dapatkan rawatan yang sepatutnya.