Tuesday, March 28, 2017

Prosedur Mendapatkan Rawatan Anxiety di Hospital

Saya ingin kongsikan pengalaman saya mendapatkan rawatan terhadap tekanan perasaan saya.

Ketika itu saya belum tahu yang saya mempunyai anxiety disorder. Yang saya tahu, saya dibebani masalah yang ditanggung berbulan-bulan dan saya takut saya jadi gila kerana terlalu tertekan. Kebetulan pula, banyak posting-posting di FB dan internet yang bercakap tentang tekanan perasaan dan kemurungan.  Maka akhirnya pada suatu hari, saya buat keputusan untuk ke Hospital Batu Gajah untuk dapatkan rawatan.

Jabatan Pesakit Luar, Hospital Batu Gajah
Pertama sekali saya ke Jabatan Pesakit Luar, Hosp Batu Gajah. Seperti prosedur biasa, dapatkan nombor giliran di kaunter, buat saringan asas (rekod berat badan, ketinggian dan tekanan darah) dan akhir sekali tunggu nombor dipanggil. Bagi mereka yang jauh dari hospital, boleh berjumpa doktor di Klinik Kesihatan yang berhampiran.

Bila sampai giliran saya, doktor bertanyakan apa masalah saya. Jadi saya bagitahu beliau yang saya sedang stress, dan saya bimbang jika saya ada depression. Oleh itu, beliau mula bertanya lanjut tentang simptom-simptom yang saya alami. Saya terangkan yang saya sedang menghadapi masalah perhubungan dan masalah ini mengganggu fikiran, kerja dan tidur saya. Saya kerap berdebar-debar, berpeluh sejuk, terjaga dalam keadaan terkejut dan tiada motivasi untuk membuat sebarang aktiviti. Saya struggle untuk bangun dari katil setiap pagi.

Doktor merekodkan keterangan dan beliau turut bertanyakan sedikit tentang sejarah diri, penyakit@alahan yang pernah ada. Kemudian beliau membuat surat rujukan bagi membolehkan saya mendapatkan rawatan dari pakar psikiatrik. Mujur di Hospital Batu Gajah, terdapat Pusat Kesihatan Mental diwujudkan khusus bagi menyokong rawatan kesihatan mental. Maka pada hari itu juga saya telah mendapat tarikh temujanji iaitu 2 hari selepas itu.

Pusat Kesihatan Mental, Hospital Batu Gajah
Pada hari temujanji, saya bawa bersama surat rujukan yang diberikan oleh doktor perubatan. Setelah memaklumkan saya ada temujanji pada hari tu, seorang jururawat mengambil tekanan darah saya. Kebetulan ada beberapa pesakit lain yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan.

Mujur saya orang yang terakhir berjumpa pakar psikiatrik tersebut. Mula-mula saya diminta mengisi satu borang kajiselidik untuk diisi. Ujian DASS. Ia bertujuan bagi menilai tahap stress, antiety dan kemurungan (depression) seseorang. Setelah selesai menjawabnya, saya serahkan kembali kepada beliau. Hasil ujian tersebut mendapati saya menghidapi stress tahap sederhana, anxiety tahap teruk dan kemurungan tahap teruk. Bukanlah satu pencapaian yang membanggakan..Hehe


Kemudian sesi kaunseling bersama pakar psikiatrik tersebut bagi mengenalpasti punca tekanan saya. Hampir 2 jam sesi luahan dan air mata ini berlangsung. Beliau dengan sabar mendengar dan memberi cadangan bagi masalah saya.

Di akhir sesi ini, beliau memaklumkan bahawa saya akan dirujuk kepada seorang kaunselor di Hospital Ipoh, memandangkan di pusat tersebut tidak kaunselor. Saya juga diberi ubat anti-kemurungan bagi tempoh 2 minggu bagi membantu saya bertenang dan tidak berfikiran negatif. Ia juga berfungsi sebagai ubat tidur bagi membantu saya tidur di waktu malam. LUVOX.

Saya ada nyatakan pada pakar tersebut kebimbangan saya jika perlu bergantung pada ubat sepenuhnya. Namun jawapan beliau melegakan saya. Katanya, apabila dalam keadaan buntu, minda kita tak tidak mampu berfikir. Umpama ianya berdegil dan berterusan hanya mahu memikirkan masalah sahaja sehinggakan ia tidak mampu nampak sebarang jalan penyelesaian. Salah satu tindakbalas ubat berkenaan ialah ia meningkatkan hormon seretonin iaitu hormon yang dirembeskan oleh otak semasa kita gembira. Hormon ini membantu seseorang menjadi lebih tenang seterusnya mampu berfikir dengan baik. Beliau menggalakkan saya bersukan kerana ia merupakan salah satu cara bagi menggalakkan pengeluaran hormon gembira ini.

Alhamdulillah, setakat ini banyak perkembangan positif yang saya rasakan. Pertamanya, saya mampu melawan fikiran negatif apabila ia mula datang, Kemudian, kualiti tidur saya lebih baik. Walaupun ada juga terjaga sekali dua pada setiap malam namun tidak sekerap dulu. Saya juga mengambil langkah menerangkan masalah kesihatan saya ini kepada penyelia saya, dan Alhamdulillah dia begitu memahami dan mengambilberat. Yang terkini, saya berjumpa dengan kaunselor kampus untuk mendapatkan pertolongan beliau bagi menyusun semula priority hidup dan mencari jalan bagi masalah-masalah yang timbul.

Inilah proses-proses yang saya alami dalam usaha mendapatkan rawatan terhadap anxiety saya. Saya sering berdoa semoga Allah s.w.t. terus berikan kekuatan untuk saya kembali sembuh dan sihat. Sesungguhnya saya yakin ada hikmat yang amat besar di sebalik kejadian. Insya Allah..

1 comment: