Monday, March 27, 2017

Tanda-tanda Anxiety

Sebelum saya tahu yang saya sebenarnya menghidapi anxiety disorder, saya sering tertanya-tanya; mengapa saya berkelakuan lain daripada saya yang biasa. Rutin harian saya kacau-bilau, tak boleh fokus pada kerja. Jiwa dan pemikiran saya amat terganggu.

Terlalu banyak berfikir
Pada asalnya saya menghadapi masalah tentang perhubungan. Hubungan dengan penyelia, hubungan dengan kawan-kawan rapat. Beberapa perkara telah berlaku pada saya dengan berturut-turut sehingga menyebabkan saya rasa ditindas, dikhianati dan hilang kepercayaan pada mereka yang saya letak sangat dekat di hati saya. Kemudian, saya merasai kehilangan pada seseorang yang saya bergantung harap. Kesemua ini membelenggu pemikiran saya selama berminggu-minggu, berbulan-bulan. Saya tak jumpa jawapan atau penyelesaian terhadap masalah saya.
Buntu

"Mengapa mereka buat aku macam tu?"
"Kenapa benda ni jadi kat aku?"
"Sampai hati mereka buat kat aku..."
"Tak patut"
"Tak boleh"
"Kenapa mereka tak faham aku?"

Ni semua ayat-ayat dan perkataan yang sentiasa berlegar-legar dalam kepala otak. 24 jam!
Bila dah ada ayat-ayat macam tu, maka mulalah fikir macam-macam senario.

Apa aku akan cakap kalau jumpa diorang. (Babak...)
Sepatutnya diorang kena buat macam ni. (Babak..)

Memang dah boleh buat drama TV dah dengan semua babak dalam otak tu. Hehe..

Mood berubah mendadak (mood swing)
Dalam tempoh ni, mood saya memang macam ombak badai. Boleh naik turun dengan sangat cepat. Saya boleh merajuk, marah, mengamuk,menangis dengan tiba-tiba. Sedangkan puncanya amat kecil. Contohnya adik saya makan keropok yang saya beli sebagai stok makanan masa saya lapar dan malas nak keluar rumah. Saya mengamuk sampai baling kipas meja ke dinding beberapa kali sampai kipas tu total lost. Kemudian ada satu ketika, saya ternampak kereta kawan-kawan sedang parking kat main gate, saya menangis teresak-esak sepanjang saya memandu balik ke rumah. Sebab saya tahu mereka akan parking kereta di situ setiap kali mereka keluar buat aktiviti bersama-sama dan saya sangat sebak memikirkan sampainya hati mereka bersuka ria tanpa saya. Yang paling aneh ialah apabila anak sedara taknak berkongsi rahsianya dengan saya. Saya boleh merajuk dengan dia dan terus balik rumah (budak 5 tahun je kot!). 
Anxiety mood swing

Ya, bila saya dah tenang sekarang ni, memang sangat tak logik hanya disebabkan isu keropok, kereta parking dan budak kecil, saya jadi terlampau beremosi. Tapi percayalah.. Masa ni memang kita tak boleh nak faham diri kita sendiri dan kenapa kita bereaksi macam tu. Yang nyata, bila dah melibatkan kerosakan fizikal atau melukakan hati orang lain memang kita rasa menyesal sangat-sangat. Kemudian salahkan diri sendiri; "Kenapalah aku tak boleh bersabar.." Masa ni memang kesian kat orang-orang sekeliling yang rapat dengan kita. Tak pasal-pasal diorang kena tempias. 

Suka menyendiri dan tiada semangat
Bila terlalu memikir masalah tu, kita lebih selesa menyendiri dan berada dalam dunia kita sahaja. Taknak jumpa orang, taknak berinteraksi. Lagipun kalau jumpa orang, nanti kita akan cepat marah, merajuk dan kecil hati. Jadi lebih baik duduk sorang-sorang, layan fikiran sendiri. 

Kemudian lepas beberapa lama mula rasa lemah, asyik nak tidur je. Paling susah ialah nak cari semangat untuk bangun dari katil  dan mulakan hari. Sebab taknak hadapi hidup. Sedangkan saya amat aktif sebelum ni. Hari saya bermula seawal 4.30 pagi, dan saya boleh belajar, berjoging, berenang, bersosial dengan bersungguh-sungguh. Siapa sangka kehidupan saya berubah 180 darjah dalam tempoh ini. Ada satu ketika, saya dah berpakaian sukan dan ada di padang, tapi saya tak mampu cari motivasi untuk berjoging pada hari itu dan terus balik ke rumah. 

Takut
Masa ni memang asyik takut je.
Anxiety

Takut jumpa orang nanti dia judge aku negatif sangat la, muka takde semangat la.
takut jumpa saudara-mara nanti diorang sibuk nak tau pasal diri aku. 
Takut terima panggilan telefon, risau nanti dapat berita buruk.
Takut jumpa kawan-kawan nanti diorang tanya ke mana menghilang.

Kita tak tahu dan takut menghadapi hari. Kita rasa tak ada jalan keluar dari pada masalah ini melainkan kalau kita mati.

Serangan panik secara tiba-tiba (Panic attack)
Bila terlalu runsing, akhirnya ia mempengaruhi kehidupan saya. Saya sering resah, sejuk tangan dan kaki namun berpeluh-peluh. Ada ketikanya serangan ini berlaku di tengah malam, saya terjaga dalam keadaan berpeluh-peluh dan jantung berdebar-debar. Memang masa tu asyik terjaga selang sejam. Maka waktu siang saya sering merasa mengantuk dan tidak bermaya kerana tidur yang tidak berkualiti.


Pakar psikiatrik
Memandangkan keadaan saya semakin teruk dan saya tak mampu mencari jalan keluar, akhirnya saya ambil keputusan yang saya perlukan khidmat profesional. Maka saya pun ke hospital dan dapatkan rawatan yang sepatutnya.

1 comment: